solid food : makanan permulaan untuk bayi anda
- 01:08
- By Mag
- 0 Comments
sejak fateemah makan, tak update ape-ape lagi pasal food fateemah. semangat baru datang. jadi saya share dulu article-article yang mungkin boleh menjadi panduan ibu-ibu since ramai yang tanya pasal benda-benda basic pasal nak start bagi bayi kita makan. semoga bermanfaat.
sumber di SINI
Makanan Permulaan untuk Bayi
Bayi sebaik-baiknya harus diberi susu badan secara
eksklusif bagi enam bulan pertama. Apabila bayi membesar, dari umur 6
bulan, bayi perlu diberikan makanan pejal secara beransur-ansur. Proses
ini dipanggil ‘weaning’. Ini tidak bermaksud susu hari ini, dan besok
terus makanan pejal! Sebaliknya, bayi haruslah diberi peluang untuk
menyesuaikan diri perlahan-lahan. Di samping makanan pejal, penyusuan
bayi dengan susu badan boleh diteruskan sehingga umur dua tahun atau
lebih.
Makanan pejal tidak boleh diberikan sebelum umur 6 bulan kerana:
- Bayi belum dapat mengunyah dan menggigit dengan berkesan
- Makanan yang paling seimbang dan lengkap adalah susu badan.
- Meningkatkan risiko alahan makanan dan jangkitan kuman.
- Usus belum matang dan terdapat risiko kecederaan / usus tersumbat (‘intestinal obstruction‘).
- Buah pinggang belum cukup matang untuk mengendalikan beban berlebihan dengan makanan pejal.
Namun, selepas umur 6 bulan, bayi memerlukan makanan
pejal, kerana susu badan sahaja tidak mencukupi untuk keperluan badan.
Bayi yang tidak diberi makanan pejal selepas 6 bulan akan mengalami
kekurangan zat makanan, terutamanya zat besi. Ini pula akan menjejaskan
pertumbuhan dan perkembangan minda bayi.
Bayi perlu membiasakan diri dengan kaedah pemakanan baru apabila diberi makanan pejal. Kaedah-kaedah berikut mungkin membantu:
- Mula-mula, gunakan sudu untuk memberikan sedikit susu. Apabila bayi telah biasa makan menggunakan sudu, makanan pejal yang lembut boleh diberikan.
- Mulakan dengan satu atau dua sudu makanan. Selepas beberapa hari, makanan pejal boleh diberikan dua, dan seterusnya tiga kali sehari. Makanan pejal yang sesuai untuk permulaan adalah makanan dengan tesktur yang rata dan rasa yang tawar (‘smooth consistency and flat taste’). Contohnya, kanji, ubi kentang yang dilenyetkan, sayur-sayuran yang tidak berserabut, seperti lobak merah atau lobak putih, atau puri buah-buahan yang lembut, seperti pisang atau epal.
- Jangan tambahkan makanan pejal ke dalam botol susu.
- Jangan tambahkan garam atau gula kepada makanan bayi.
- Makanan pejal boleh dicampurkan dengan sedikit susu badan atau air masak.
- Mulakan makanan baru satu demi satu supaya dapat mengenalpasti apa-apa alahan makanan.
- Sekiranya bayi tidak mahu makan sesuatu makanan baru, cuba berikan makanan itu sekali lagi, selepas beberapa hari. Kadangkala bayi akan mengambil makanan tersebut setelah mencuba beberapa kali dan telah membiasakan dirinya dengan rasa baru.
Apabila bayi berumur 6 bulan, makanan pejal harus
dimulakan dan ditingkatkan perlahan-lahan. Dalam beberapa minggu,
makanan dengan rasa, tekstur, warna dan suhu yang berlainan boleh
diperkenalkan. Apabila bayi mengambil lebih banyak makanan pejal,
pengambilan susu akan berkurangan. Pada tahap ini, bayi perlu diberi
sedikit ikan, ayam atau sumber protein lain, untuk menggantikan protein
dalam susu. Pastikan tiada tulang dalam makanan bayi.
Pada umur 6 hingga 9 bulan, makanan yang lebih
berketul (lumpy) boleh dimulakan. Apabila bayi boleh duduk, berikan
makanan yang boleh dipegang sendiri, seperti biskut atau buah-buahan
yang dipotong kecil seperti tembikai dan pisang. Seboleh-bolehnya, bayi
perlu beransur-ansur diberi makanan yang biasa dimakan oleh keluarga,
supaya bayi dapat membiasakan diri dengan tekstur dan rasa makanan
keluarga.
Apabila bayi menghampiri umur satu tahun,
bayi boleh makan bersama-sama dengan keluarga. Makanan seperti ayam,
ikan, sayur dan nasi boleh diberikan. Makanan boleh dikisar atau
dipotong kecil. Elakkan makanan kecil yang keras seperti kacang
‘pea’ yang mungkin boleh tersumbat dalam salur pernafasan bayi. Elakkan
makanan yang terlalu pedas, serta garam dan gula berlebihan. Bayi boleh
cuba makan sendiri dengan menggunakan sudu.
Makanan yang perlu dielakkan pada peringkat awal
- Jangan berikan madu lebah kepada bayi di bawah umur 1 tahun, kerana madu kadangkala mengandungi kuman, yang boleh menyebabkan penyakit berbahaya dalam bayi (‘infant botulism’).
- Telur tidak patut diberikan sebelum umur 6 bulan. Selepas itu, bayi boleh diberikan telur yang perlu dimasak penuh, sehingga putih dan kuning telur menjadi keras, untuk mengelakkan jangkitan kuman.
- Kacang keras tidak boleh diberikan kepada bayi di bawah umur 5 tahun, kerana bahaya tersumbat dalam salur pernafasan. Kacang yang dikisar atau ditumbuk halus boleh diberikan selepas 6 bulan.
- Makanan rendah-lemak, rendah-kalori dan serat-tinggi tidak sesuai untuk bayi. Bayi memerlukan tenaga yang tinggi untuk tumbesaran dan memerlukan makanan yang berlemak, dengan kandungan vitamin dan mineral yang mencukupi.
Bayi perlu diperhatikan dengan teliti ketika makan,
untuk memastikan bayi tidak tercekik. Kita boleh meningkatkan minat bayi
dengan membenarkan bayi untuk cuba makan dengan sendiri, menggunakan
tangan atau sudu.
Sekiranya bayi digalakkan duduk dan makan bersama-sama
dengan keluarga, bayi akan cuba meniru ahli keluarga lain, dan mencuba
makanan yang dimakan oleh keluarga. Sekiranya bayi tidak mahu makan,
kita tidak perlu paksa, tetapi boleh cuba lagi pada masa lain.
Pemulaan makanan pejal akan membuka dunia baru untuk
bayi, dengan banyak peluang pembelajaran. Jadikanlah masa makan suatu
pengalaman yang seronok dan menarik untuk bayi anda!
Laman web ini mengandungi maklumat lanjut tentang makanan komplementari dalam
0 comments